Kongsi Resepi

Tuesday 9 April 2013

Tolonglah Fikir


Bila duduk serumah sudah dianggap seperti keluarga sendiri, namun apa yang akan terjadi apabila tersalah pilih. Ini adalah kisah untuk menyelongkar perasaan mereka yang punya rakan sebilik pengotor dan mengganggu privasi.

Hanya mampu melihat dengan hati membengkak kerana nasihat pun tidak mahu dengar dan pura-pura tak tahu. Ini boleh bikin meletus perang dingin. Orang kata walaupun seseorang itu nampak baik dan cantik namun apabila duduk serumah, baru kita tahu hakikat sebenar perangai dan sikap masing-masing. Muka saja cantik buat apa kalau pengotor. Serius! Junior aku, partime model, sekali pergi bilik dia, amek!! Bersepah haaa baju. -.-''


Bukan isu pengotor saja, ada juga yang sibuk jaga tepi kain orang lain. Merimaskan! 24 jam nak tahu ke mana kita pergi mengalahkan mak ayah kita. Bahkan bukan itu saja sibuk buat 'spot check' dalam rumah mengalahkan ketua kampung. 

Jiwa pasti sakit dan derita apabila dapat rakan sebilik yang mempunyai sikap negatif begitu. Rasa menyesal pula mengajak duduk serumah. Ada pula satu kes yang aku pernah lalui apabila rakan sebilik memasang muzik dengan nada bingit tanpa mempedulikan rakan-rakan lain yang mungkin tengah ulang kaji, tidur dan solat. Mereka yang bersikap begini memang hanya mementingkan diri sendiri.

Akan kerap berlaku pergaduhan kecil dan bermasam muka apabila isu ini dibangkitkan. Apabila ditegur oleh rakan sebilik, mulalah naik berang!


Hal ini biasa terjadi terutama bagi yang tidak biasa tinggal berasingan dengan keluarga. Misalnya melangkah kaki ke alam pekerjaan atau baru saja mendaftar sebagai pelajar luar kampus, mencari bilik sewa atau rumah sewa. Perkara itu mungkin baru bagi mereka kerana jika tidak dibantu dengan sebetulnya, pasti akan mengalami masalah di kemudian hari. 

Tidak semua orang sedar bahawa mencari rakan serumah dan rakan sebilik tidak semudah yang disangkakan. Pelbagai perkara harus difikirkan dan diteliti sebelum sebarang kata putus diambil. Jika tidak kita hanya perlu reda dan berkongsi bilik atau rumah dengan mereka yang mempunyai sikap buruk dan mendatangkan tekanan emosi dan fizikal malah boleh merugikan wang ringgit kita. 

Pilih rakan sebilik yang memang kita kenal rapat dan mempunyai tahap kebersihan yang tinggi. Berterus terang pada kali pertama berkenaan dengan diri kita seperti apa yang kita suka dan tidak suka serta personaliti rakan sebilik atau serumah yang kita mahukan. Hal ini akan menyenangkan kita dan menjimatkan masa untuk mencari rakan sebilik yang baru. 

Hal ini juga sedikit sebanyak membantu orang lain untuk mengenali kita dan membuat keputusan sama ada sesuai atau tidak untuk tinggal dengan kita. Jika tidak berkenan, sila berterus terang dan nyatakan kepada mereka bahawa dia bukanlah rakan serumah yang dicari. 

Selain itu, ada juga isu berkaitan dengan rakan sebilik atau serumah yang liat untuk membayar sewa dan kemudian menyusahkan kita untuk mendahulukan duit kita sebagai duit sewa, kemudian tidak bayar balik dan pura-pura lupa. Isu ini memang sering terjadi kepada semua yang pernah ada rakan sebilik ini. 

Memeriksa latar belakang rakan serumah atau sebilik juga penting terutama mendapatkan maklumat daripada bekas rakan sebilik mereka mengenai sikap dan perilaku dia. Contohnya ,seperti adakah mereka pengotor, lewat bayar sewa atau suka bawa bukan jantina yang sama pulang ke rumah. Cuba korek rahsia daripada mereka, mungkin itu boleh membantu.

Akhir sekali, mengenali diri sendiri dulu, seandainya anda seorang yang lebih suka privasi dan tidak suka campur hal yang remeh-temeh. Kemudian berfikir sama ada anda sesuai untuk tinggal seorang atau mempunyai rakan sebilik. Ini penting untuk menjaga hati seseorang terutama apabila mendapat rakan sebilik yang sensitif dan mudah terasa. Selamat mencuba!


Aku pernah ada pengalaman housemate macam ni! Tu dia baqhang! 

"Kenal rakan sebilik ini ketika mula-mula masuk universiti, dia ini memang seorang yang jenis pengotor. Saya mengatakan dia seorang yang pengotor kerana suka buat bilik itu seolah-olah dia seorang yang punya dan tidak endah nasihat saya. Dia buat-buat tak tahu bila saya tegur. 

"Pakaian yang sudah dibasuh, dia akan campur sekali dengan baju busuk dan suka memakai pakaiannya banyak kali tanpa membasuh terlebih dulu. 

"Kemudian apa yang saya tidak puas hati lagi ialah apabila memasak, mengalahkan tinggal dengan keluarga sendiri kerana pinggan mangkuk dan periuk belanga dibiarkan begitu saja tanpa dicuci semula. Saya yang melihat memang terasa geram. 

"Perlakuan dia yang kotor itu membuatkan rakan sebilik yang lain menukar bilik. Itu tidak termasuk lagi pakaiannya yang tidak tersusun di dalam almari dan meletakkan saja di ruang tamu rumah sehingga rakan serumah yang lain kurang selesa. Ada juga saya menolong untuk mengemas barang-barangnya yang bersepah tetapi bukan mengucapkan terima kasih malah marahkan saya sebab sentuh barangnya. 

"Tahun depan saya memang akan berpindah sebab sudah tamat belajar, jadi tidak lagi tinggal serumah dengannya terutama sikap pemalas dan pengotor yang memang tidak boleh diterima itu. 

"Kadang-kadang terasa seperti orang gaji dia pula, semua kerja rumah saya yang lakukan seorang diri seperti kemas katil, sapu sampah dan mengelap.

"Saya berharap dia akan berubah. Saya kasihan dan terfikir siapa lagi mangsa dia selepas ini," katanya.



No comments: