Kongsi Resepi

Friday 22 June 2012

Mulianya Hati Dia



Mata Hairey teralih ke arah sekumpulan budak sekolah menengah yang sedang berkerumun asyik memandang ke lantai kaki lima hadapan kedai. 

Perasaan ingin tahu Hairey menebal. Dari riak wajah budak-budak yang baru mencapai akil baligh itu menunjukkan mereka memerhatikan sesuatu yang luar biasa. Hairey berjalan menuju ke arah kumpulan remaja tersebut. Alangkah terkejutnya Hairey apabila menyaksikan seekor kucing berwarna putih bertompok sedang berdarah. 

Lebih memilukan hatinya apabila dilihatnya kedua-dua kaki depan kucing itu kudung akibat dipotong!

“Eh... eh, dik, ni kenapa ni, dik?”

Hairey terus menggelabah apabila melihat kucing itu terbaring lemah. Berkali-kali kucing itu mengiau-ngiau seakan minta simpati.

“Tak tahulah bang, tadi ada seorang lelaki campak kucing ni. Waktu lelaki tu campak kucing ni dia kata kucing ni bawa sial kat kedai dia!” kata salah seorang remaja tersebut.

Mata Hairey tertumpu pada jasad kucing tersebut. Dari riak wajah kucing itu tergambar betapa rasa sakit dan perih malang yang menimpanya. Darah dari kedua-dua belah kakinya masih menitis. Berkali-kali kucing putih itu menelentang dan menguit-nguit kakinya yang sudah kudung. 

Mungkin kucing itu sedang menahan kesakitan, getus hati Hairey. Entah keparat mana yang berhati binatang sanggup melakukan perkara terkutuk sebegini... Ahh! Kejammmm! Kejammmmmm!

“Miauuu... Miauuu... Miauu!! Miauuuu... Miaaaaaauu! Miau! Miau!”

Kucing putih itu terus mengiau dan mengerang kesakitan. Badannya menggigil-gigil kesakitan. Matanya berkaca, memandang sekeliling dengan wajah yang begitu sayu. Kucing itu menoleh ke kanan kemudian mengiau. Kemudian menoleh pula ke kiri, mengiau lagi. Beberapa kali anak kucing itu tunduk ke lantai, kemudian mendongak dan mengiau-ngiau tanpa henti. 

Suaranya lemah dan bergetar. Mungkin dalam benak kucing itu sudah membayangkan malaikat maut sudah hampir dan bakal mencabut nyawanya sebentar lagi.

Jiwa Hairey bergelojak dibuatnya. Terbantut rasa haus apabila menyaksikan haiwan comel itu sedemikian rupa. Tanpa berfikir panjang Hairey segera mengambil jaket yang berada dalam raga motosikalnya. Hairey berjalan dengan hati sebak ke arah kucing yang masih berdarah itu. 

Dibentang jaket lusuhnya di sebelah haiwan berbulu halus itu. Perlahan-lahan Hairey memegang kucing yang sudah parah itu dan mengangkat tubuhnya dari belakang. Kucing putih mengiau-ngiau lagi. Makin lemah dan makin perlahan ngiaunya.

“Bismillah... Aku angkat kau ya kucing malang, jangan menangis lagi, hero tak menangis, kan? Tak apa, aku bawa kau jumpa doktor ya...”

Seakan memujuk, dengan perlahan Hairey mengangkat kucing putih itu dan diletakkan ke atas jaket lusuhnya. Tanpa disedari, matanya mula bergenang. Hairey terus mengangkat kucing malang itu dan terus memasukkan ke dalam raga motosikal. Sebaik menghidupkan enjin, hatinya terdetik lagi.

Baru dia teringat wang di dompetnya sedang nazak. Kalau dibawa kucing ini bertemu veterinar untuk dirawat, sudah pastinya khidmat doktor haiwan mesti dibayar. Dengan keadaan ekonominya yang serba terhimpit ini, duit yang berada dalam dompetnya tidak boleh dibelanjai sewenang-wenang.

Ya, Hairey tak kisah kalau tak makan sekalipun, tetapi andai kata esok lusa motosikalnya buat ragam, ataupun berlaku kecemasan, dengan siapa dia perlu minta bantuan? Ahh... dugaan... dugaan!

“Maafkan aku hero, aku bawa kau pulang saja ya? Tak apa, aku ada... aku akan jaga kau,” kata Hairey dengan air mata yang berlinangan. Dia terus menunggang motosikalnya menuju ke rumah.

Sebaik tiba di rumah, tanpa banyak bicara Hairey segera mencari botol kecil yang berisi minyak sapu berwarna hitam pekat dalam almari rumahnya. Hanya minyak hitam itu sahaja harapannya selain doa yang dipanjatkan kepada Allah agar kucing malang itu terus bernafas tanpa mengalami pendarahan teruk.

Hairey duduk menghadap kucing malang itu yang diletakkan di tengah rumah. Kucing itu masih menggigil kesakitan dan mengiau-ngiau dengan lemah. Hairey membuka tutup botol dan menuang minyak penawar hitam pekat itu ke atas tapak tangannya yang telah dikotori darah. 

Dengan lembut dia menyapu minyak berwarna hitam pekat dan melekit itu pada kaki kucing itu. Air matanya berlinangan lagi apabila melihat isi pada kaki haiwan malang itu.

“Mari sini aku sapukan minyak gamat pada kaki tu. Tahan ya sikit... Hero mesti tahan rasa sakit!” pujuk Hairey lagi. Selepas menyapu minyak, Hairey membersihkan badan kucing itu daripada darah.

Kemudian dia mengusap manja kucing yang baru dirawatnya tadi. Dibelai-belai bawah dagu, diusap-usap kepala kucing malang itu. Hairey terus merawat kucing itu dengan minyak berwarna hitam pekat dari sehari ke sehari.

Dia memberi kucing itu makan dan membelainya. Dari sehari ke sehari jugalah dia melihat perkembangan kaki kucing yang berdarah hinggalah lukanya kering dan berkuping, sehinggalah...


“HEROOOOOO!! Herooo!!!” 

Hairey terjerit-jerit memanggil Hero yang asyik menguit-nguit dan menjilat tubuhnya. Dikerling Hero dari hujung anak matanya.

Meskipun kedua-dua belah kaki Hero kudung tetapi kini dia sudah sembuh sepenuhnya dari tragedi malang yang menimpanya, enam tahun lalu. Hero kini bukan saja sudah sihat tetapi menjadi seekor binatang ajaib di dunia.

Biarpun Hero tanpa dua belah kaki tetapi dia dapat melompat dan berjalan serta bermain. Keletahnya menghiburkan Hairey sekeluarga. Kemudian Hairey terus memfokuskan penglihatan pada komputer ribanya. Diteliti satu-satu perkataan yang terbit dari skrin komputer ribanya.

Hairey tidak menyangka video yang dimuat naik ke dalam laman sesawang Youtube mendapat perhatian rakyat Malaysia. Lebih 200 ribu orang telah menonton sejak bulan Jun 2010 dengan tajuk ‘Kucing Dipotong Kaki Kerana Mencuri Ikan’. Korang boleh searh sendiri kat youtube kalau nak tengok...

Hairey, 32, atau lebih dikenali sebagai Papa Hero (PH) dalam blog kendaliannya iaitu kakimotong.blogspot.com merupakan individu mulia yang menyelamatkan kucing malang yang diberi nama sebagai Hero. Syabas, Hairey! Marilah kita semua lindungi kucing, haiwan kesayangan Nabi Muhammad s.a.w. ini.. :)

1 comment:

Fadzmie said...

Semoga Allah membalas jasanya. Amin. ;)